Tun Sri Lanang dilahirkan di Bukit Seluyut,
Johor pada tahun 1565. Nama sebenar beliau ialah Tun Muhammad yang merupakan
anak kepada Paduka Raja Tun Ahmad. Beliau menjadi Bendahara Paduka Raja, Johor
antara tahun 1580 dan 1615. Salasilah kesultanan Terengganu yang terdapat dalam
Sejarah Terengganu (buku) karya Haji Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan
Pustaka 1974 ada menyatakan bahawa Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Seri
Maharaja, Johor - Marhum Padang Saujana - Bendahara Johor 1688-1697) yang
menjadi Bendahara Johor dari 1688 hingga 1697 adalah bapa kepada Sultan Zainal
Abidin I (Sultan Terengganu Pertama) dan kepada Sultan Abdul Jalil IV (Sultan
Johor ke-11 dari 1699 hingga 1719). Selanjutnya dipaparkan bahawa Tun Habib
Abdul Majid adalah anak kepada Tun Mat Ali (Bendahara Paduka Maharaja, Johor),
iaitu anak kepada Tun Seri Lanang (Bendahara Paduka Raja, Johor 1580-1615).
Dalam pengetahuan orang-orang Melayu, nama Tun Seri Lanang lebih dikenali
sebagai salah seorang bijak pandai dan pengarang ulung bangsa Melayu yang
setaraf dengan Munshi Abdullah (Pengarang Hikayat Abdullah). angsa Melayu
mengenang Tun Seri Lanang sebagai seorang tokoh sejarah dan pujangga Melayu
yang agung. Karyanya yang monumental iaitu kitab Sulalatus Salatin atau nama
jolokannya Sejarah Melayu yang menjadi
rujukan dan kajian sehingga hari ini telah memahkotakan Tun Seri Lanang sebagai
Pujangga Agung Nusantara.
Kemasyhuran kitab Sejarah Melayu dikaitkan
dengan perincian sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang pernah berdiri sebagai
sebuah Negara Melayu yang paling kuat, agung dan kaya pada abad ke 15M.
Lantaran itu karya tersebut seringkali diselidiki sebagai sebuah dokumen
sejarah yang menggambarkan antara lain, kelahiran kerajaan Melaka bersekali
dengan tamadun Melayu Islam berajanya, peluasan kuasa pemerintahnya serta
pelbagai aspek dan kehidupan kesultanan
tersebut yang berakhir dengan episod keruntuhannya akibat serangan Portugis
pada tahun 1511. Oleh itu, kitab Sulalatus Salatin menjadi antara sumber
rujukan utama yang bersifat primer tentang sejarah masyarakat dan kebudayaan
Melayu awal.
Menurut Profesor Dato’ Dr Mohd Yusoff
Hashim, sumbangan terbesar yang dibuat oleh Tun Seri Lanang sebagai mengikut
titah Yang Dipertuan di Hilir (Raja Abdullah, kemudian menjadi Sultan Abdullah
Maayah Shah Johor 1615-1623) dalam
menyusun teks Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ialah :
“
Mengketengahkan serta memberi kesedaran kepada
masyarakat dunia bahawa bangsa Melayu
adalah bertamadun setaraf dengan tamadun-tamadun dunia lainnya waktu
itu.“
Dalam hal ini, Tun Seri Lanang bukan sahaja
telah menuangkan jasa yang besar kepada bangsa Melayu sebagai pengarang kitab
Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, malahan dalam peranannya sebagai
Uleebalang Kenegerian Samalanga di Aceh, telah meninggalkan jejak yang besar
dalam memberi sumbangan kepada pemertabatan agama dan bangsa di sana.
Malahan Tun Seri Lanang juga telah
meninggalkan warisan keluarga yang cemerlang di kedua-dua Tanah Melayu dan
Aceh. Sampai hari ini Kesultanan Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor masih
dipegang oleh zuriat Tun Seri Lanang. Sedangkan di Aceh pula, keturunan Tun Seri Lanang dari keluarga dan
kaum-kerabat Uleebalang Kenegerian Samalanga telah bersatu darah dengan
bangsawan-bangsawan Aceh yang lainnya sehingga melahirkan beberapa tokoh
Indonesia yang terkenal seperti Pocut Meuligo-‘Serikandi Aceh’, pejuang bangsa
dan negara seperti Amponsyik (Uleebalang) Samalanga Teuku Muda Bugis Teuku
Hamid Azwar, Teuku Daud Shah dan Mayjend
Teuku Hamzah Bendahara, Teuku H. Zainal Abidin Bendahara dan Teuku H Husen
Bendahara.
Kesimpulannya, sebagai seorang tokoh
sejarah Melayu tradisional baik dalam bidang kesusasteraan, politik Melayu /
Aceh lama, mahupun dalam perkembangan serta pendidikan Islam, sejarah dan
riwayat hidup Tun Seri Lanang patut diketengahkan sebagai suri tauladan serta
pencetus semangat bangsa dan agama
khususnya bagi orang-orang Melayu.
Munshi Abdullah adalah pencacai Inggeris yg menulis sejarah org mlayu mngikut kehendak tuan nya. Yg mnggambaran melayu sbg selekeh, pemalas dan tidak bertamadun
ReplyDeleteMunshi Abdullah adalah pencacai Inggeris yg menulis sejarah org mlayu mngikut kehendak tuan nya. Yg mnggambaran melayu sbg selekeh, pemalas dan tidak bertamadun
ReplyDelete