Saturday 25 May 2013

TUN SRI LANANG

Tun Sri Lanang dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Nama sebenar beliau ialah Tun Muhammad yang merupakan anak kepada Paduka Raja Tun Ahmad. Beliau menjadi Bendahara Paduka Raja, Johor antara tahun 1580 dan 1615. Salasilah kesultanan Terengganu yang terdapat dalam Sejarah Terengganu (buku) karya Haji Buyong Adil terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka 1974 ada menyatakan bahawa Tun Habib Abdul Majid (Bendahara Seri Maharaja, Johor - Marhum Padang Saujana - Bendahara Johor 1688-1697) yang menjadi Bendahara Johor dari 1688 hingga 1697 adalah bapa kepada Sultan Zainal Abidin I (Sultan Terengganu Pertama) dan kepada Sultan Abdul Jalil IV (Sultan Johor ke-11 dari 1699 hingga 1719). Selanjutnya dipaparkan bahawa Tun Habib Abdul Majid adalah anak kepada Tun Mat Ali (Bendahara Paduka Maharaja, Johor), iaitu anak kepada Tun Seri Lanang (Bendahara Paduka Raja, Johor 1580-1615). Dalam pengetahuan orang-orang Melayu, nama Tun Seri Lanang lebih dikenali sebagai salah seorang bijak pandai dan pengarang ulung bangsa Melayu yang setaraf dengan Munshi Abdullah (Pengarang Hikayat Abdullah). angsa Melayu mengenang Tun Seri Lanang sebagai seorang tokoh sejarah dan pujangga Melayu yang agung. Karyanya yang monumental iaitu kitab Sulalatus Salatin atau nama jolokannya Sejarah Melayu  yang menjadi rujukan dan kajian sehingga hari ini telah memahkotakan Tun Seri Lanang sebagai Pujangga Agung Nusantara.
Kemasyhuran kitab Sejarah Melayu dikaitkan dengan perincian sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang pernah berdiri sebagai sebuah Negara Melayu yang paling kuat, agung dan kaya pada abad ke 15M. Lantaran itu karya tersebut seringkali diselidiki sebagai sebuah dokumen sejarah yang menggambarkan antara lain, kelahiran kerajaan Melaka bersekali dengan tamadun Melayu Islam berajanya, peluasan kuasa pemerintahnya serta pelbagai aspek dan  kehidupan kesultanan tersebut yang berakhir dengan episod keruntuhannya akibat serangan Portugis pada tahun 1511. Oleh itu, kitab Sulalatus Salatin menjadi antara sumber rujukan utama yang bersifat primer tentang sejarah masyarakat dan kebudayaan Melayu awal.
Menurut Profesor Dato’ Dr Mohd Yusoff Hashim, sumbangan terbesar yang dibuat oleh Tun Seri Lanang sebagai mengikut titah Yang Dipertuan di Hilir (Raja Abdullah, kemudian menjadi Sultan Abdullah Maayah Shah  Johor 1615-1623) dalam menyusun teks Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu ialah :
 “ Mengketengahkan serta memberi kesedaran kepada  masyarakat dunia bahawa bangsa Melayu  adalah bertamadun setaraf dengan tamadun-tamadun dunia lainnya waktu itu.“
Dalam hal ini, Tun Seri Lanang bukan sahaja telah menuangkan jasa yang besar kepada bangsa Melayu sebagai pengarang kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu, malahan dalam peranannya sebagai Uleebalang Kenegerian Samalanga di Aceh, telah meninggalkan jejak yang besar dalam memberi sumbangan kepada pemertabatan agama dan bangsa di sana.
Malahan Tun Seri Lanang juga telah meninggalkan warisan keluarga yang cemerlang di kedua-dua Tanah Melayu dan Aceh. Sampai hari ini Kesultanan Johor, Pahang, Terengganu dan Selangor masih dipegang oleh zuriat Tun Seri Lanang. Sedangkan di Aceh pula, keturunan  Tun Seri Lanang dari keluarga dan kaum-kerabat Uleebalang Kenegerian Samalanga telah bersatu darah dengan bangsawan-bangsawan Aceh yang lainnya sehingga melahirkan beberapa tokoh Indonesia yang terkenal seperti Pocut Meuligo-‘Serikandi Aceh’, pejuang bangsa dan negara seperti Amponsyik (Uleebalang) Samalanga Teuku Muda Bugis Teuku Hamid Azwar, Teuku Daud Shah dan  Mayjend Teuku Hamzah Bendahara, Teuku H. Zainal Abidin Bendahara dan Teuku H Husen Bendahara.

Kesimpulannya, sebagai seorang tokoh sejarah Melayu tradisional baik dalam bidang kesusasteraan, politik Melayu / Aceh lama, mahupun dalam perkembangan serta pendidikan Islam, sejarah dan riwayat hidup Tun Seri Lanang patut diketengahkan sebagai suri tauladan serta pencetus  semangat bangsa dan agama khususnya bagi orang-orang Melayu.

2 comments:

  1. Munshi Abdullah adalah pencacai Inggeris yg menulis sejarah org mlayu mngikut kehendak tuan nya. Yg mnggambaran melayu sbg selekeh, pemalas dan tidak bertamadun

    ReplyDelete
  2. Munshi Abdullah adalah pencacai Inggeris yg menulis sejarah org mlayu mngikut kehendak tuan nya. Yg mnggambaran melayu sbg selekeh, pemalas dan tidak bertamadun

    ReplyDelete