Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad (k.k. 1808 - k.k. 1873)
atau lebih dikenali sebagai Raja Ali Haji, ialah ulama, ahli sejarah, serta
pujangga Melayu-Bugis, dan terutamanya pencatat pertama dasar-dasar tatabahasa
bahasa Melayu melalui Pedoman Bahasa,
buku yang telah menjadi piawai bahasa Melayu. Bahasa Melayu baku inilah
yang ditetapkan sebagai bahasa Indonesia, bahasa rasmi negara Indonesia, dalam
Kongres Pemuda Indonesia pada 28 Oktober 1928.
Dilahirkan di Pulau Penyengat, Kepulauan Riau, Raja Ali
Haji merupakan keturunan kedua (cucu) kepada Raja Haji Fisabilillah, Yang
Dipertuan IV dari Kesultanan Lingga-Riau. Mahakaryanya, Gurindam Dua
Belas, yang diterbitkan pada tahun 1847
menjadi pembaharu arah aliran kesusasteraan pada zamannya. Raja Ali Haji yang
berpendidikan Arab masih mengekalkan bahasa Melayu Klasik yang banyak
mempengaruhi oleh perkataan Arab dan struktur Arab.
Pada tahun 1822 sewaktu Raja Ali Haji masih kecil, beliau
pernah dibawa oleh orang tuanya ke Betawi (Jakarta). Ketika itu bapanya, Raja
Haji Ahmad, menjadi utusan Riau untuk menjumpai Gabenor Jeneral Baron van der
Capellen. Berulang-ulang kali Raja Haji Ahmad menjadi utusan kerajaan Riau ke
Jawa, waktu yang berguna itu telah dimanfaatkan oleh puteranya Raja Ali untuk
menemui banyak ulama, untuk memperdalam ilmu pengetahuan Islamnya, terutama
ilmu fiqh. Antara ulama Betawi yang sering dikunjunginya oleh beliau ialah
Saiyid Abdur Rahman al-Mashri. Raja Ali Haji sempat belajar ilmu falak dengan
beliau. Selain dapat mendalami ilmu keislaman, Raja Ali Haji juga banyak
mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil pergaulan dengan sarjana-sarjana
kebudayaan Belanda seperti T. Roode dan Van Der Waal yang kemudian menjadi
sahabatnya.
Kira-kira tahun 1827/1243H Raja Ali Haji mengikut bapanya
Raja Ahmad pergi ke Makkah al-Musyarrafah. Raja Ahmad dan Raja Ali Haji adalah
di antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji ketika itu. Raja
Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah dalam jangka masa yang agak lama. Semasa
di Mekah Raja Ali Haji sempat bergaul dengan Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fathani. Beliau sempat belajar beberapa bidang keislaman dan ilmu bahasa
Arab dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang ketika itu menjadi Ketua
Syeikh Haji dan sangat berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu di Mekah.
Beliau bersahabat dengan salah seorang anak Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah
al-Banjari iaitu Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah
al-Banjari. Barangkali ketika itulah, Raja Ali Haji sempat mempelawa ulama yang
berasal dari Banjar itu supaya datang ke Riau, dan jika ulama tersebut
bersetuju untuk datang, ulama itu akan dijadikan Mufti di kerajaan Riau. Dalam
perjalanannya ke Mekah itu, Raja Haji Ahmad dan puteranya Raja Ali Haji pula
mengambil kesempatan berkunjung ke Kaherah (Mesir), setelah itu kembali ke
negerinya Pulau Penyengat, Riau.
Pada zaman dahulu, kerajaan Riau-Johor memiliki ramai
ulama antaranya Habib Syaikh keturuan as-Saqaf, Syeikh Ahmad Jabarti, Syeikh
Ismail bin Abdullah al-Minkabawi, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Manduri dan
ramai lagi. Tambahan lagi, saudara sepupu Raja Ali Haji yang bernama Raja Ali
bin Raja Ja’far menjadi Yamtuan Muda Kerajaan Riau VIII (tahun 1845-1857)
menggantikan saudaranya Raja Abdur Rahman bin Raja Haji Yamtuan Muda Kerajaan
Riau VII (taun 1833-1845). Apabila Raja Ali Haji pulang dari Mekah beliau
disuruh oleh saudara sepupunya itu untuk mengajar agama Islam, Raja Ali bin
Raja Ja’far juga turut belajar dengan Raja Ali Haji.
Setelah sekian lama, Raja Ali Haji terjun ke bidang
pendidikan. Beliau dikatakan telah mengajar Ilmu Nahu, Ilmu Sharaf, Ilmu
Usuluddin, Ilmu Fiqh, Ilmu Tasauf dan lain-lain. Raja Ali Haji mempunyai
kepakaran yang tinggi dalam ilmu pengetahuan Islam, bahkan beliau memang
seorang ulama besar pada zamannya. Ramai anak murid Raja Ali Haji yang telah
menjadi tokoh terkemuka, di antaranya Raja Haji Abdullah yang kemudian menjadi
Yamtuan Muda Riau IX, tahun 1857-1858, Saiyid Syaikh bin Ahmad al-Hadi.
Dalam ilmu syariat, Raja Ali Haji berpegang teguh dengan
Mazhab Syafie, dalam iktikad berpegang akan faham Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari
dan Abu Manshur al-Maturidi, sedang dalam amalan tasauf beliau adalah seorang
penganut Tarekat Naqsyabandiyah dan mengamalkan Selawat Dalail al-Khairat yang
dibangsakan kepada Saiyid Sulaiman al-Jazuli, yang diamalkan secara beruntun
sejak datuk-datuknya terutama Raja Haji as-Syahidu fi Sabilillah yang ketika
akan meninggalnya masih tetap memegang kitab selawat tersebut di tangannya,
sementara pedang terhunus di tangannya yang satu lagi.
Raja Ali Haji meninggal dunia di Riau pada sekitar tahun
1873. Beliau ditetapkan oleh pemerintah Republik Indonesia sebagai pahlawan
negara pada tahun 2006.
Karya
Bukunya yang berjudul Kitab Pengetahuan Bahasa merupakan kamus loghat Melayu
Johor-Pahang-Riau-Lingga penggalan pertama serta kamus ekabahasa yang pertama
di Nusantara. Beliau juga menulis Syair Siti Shianah, Syair Suluh Pegawai,
Syair Hukum Nikah, serta Syair Sultan Abdul Muluk.
Raja Ali Haji juga patut dijasai kerana penulisan sejarah
Melayu. Bukunya yang berjudul Tuhfat al-Nafis ("Bingkisan Berharga"
tentang sejarah Melayu), walaupun sangat lemah dari segi penulisan sejarah
kerana tidak memberikan sebarang sumber dan tahunnya, dapat dianggap sebagai
suatu penggambaran peristiwa-peristiwa Melayu bersejarah yang lengkap.
Sesetengah orang juga berpendapat bahawa Tuhfat
dikarang terlebih dahulu oleh Raja Ahmad, ayahnya yang juga merupakan
sasterawan, dengan Raji Ali Haji hanya meneruskan apa yang telah dimulai
ayahnya. Dalam bidang ketatanegaraan dan undang-undang, Raja Ali Haji juga
menulis Mukaddimah fi Intizam
(undang-undang dan politik). Selain itu, beliau juga merupakan penasihat
kerajaan.
Salasilah Melayu dan Bugis 1890
Tuhfat al-Nafis 1865
Bustanul-Katibin
Kitab Pengetahuan Bahasa
Gurindam Dua Belas
Syair Siti Shianah
Syair Suluh Pegawai
Syair Hukum Nikah
Syair Sultan Abdul Muluk
No comments:
Post a Comment