Karya agung
merupakan karya-karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah,
budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca. Unsur dalam
karya ini merangkumi mutu, nilai ketamaunan dan nilai kemanusiaan di dalam
karya tersebut. Dunia ketamadunan Melayu telah memperlihatkan, terdapat banyak
karya-karya agung yang telah dihasilkan.
Karya-karya
ini melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan
identitinya yang tersendiri. Karya agung dapat membuatkan kita mengenali dan
mengetahui sejarah dan kehebatan tamadun-tamadun dunia seperti tamadun Greek, Cina, India, Mesir dan
bangsa-bangsa yang lain. Melalui penghasilan karya seni, pemikiran, falsafah,
sastera yang dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala
mereka mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman. Hasil
kepengarangan ini dipelajari, dijadikan panduan, dikekalkan atau dicerna oleh
keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa
hingga ke zaman ini.
Karya –karya
agung sudah pasti merupakan karya yang berpengaruh yang sekurang-kurangnya
membuat orang berhenti dan berfikir tentang diri mereka, tentang lingkungannya
dan alam kehidupan keseluruhannya. Karya-karya agung ialah karya yang mengusik
ketenangan dan menyedarkan kita. Lebih penting lagi, karya agung mengajak kita
untuk mengenal dan memahami tradisi atau tamadun bangsa yang dipancarkan
melalui karya agung itu. Dalam semua tradisi bangsa dan agama, karya agung
merupakan “representatif” pada kehebatan sesuatu tradisi. Dalam tradisi Islam
misalnya, ada Ihya’ Ulumuddin , tradisi Hindu dengan Bhagavaddita, dan tradisi
Kristian dengan Summa Teologica. Dalam tradisi bangsa pula, bangsa Farsi
memiliki Shahnameh, bangsa Eropah pula dengan Divine Comedy dan karya-karya
William Shakespeare.
Dalam karya
agung, terkandung pelbagai rencah kehidupan yang berkait dengan hidup manusia.
Penceritaan dalam karya agung melibatkan unsur emosi, penderitaan, tangisan,
kesengsaraan, pengajaran, maklumat dan sebagainya. Pembaca dapat menyelusuri
segala aspek ini apabila membaca karya agung. Penulis juga membawa kita
mengalami pengalaman orang lain di dalam sesuatu karya agung.
Karya agung
Melayu ialah karya yang dapat melambangkan keunggulan daya cipta seniman,
penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealism,
nilai, pandangan hidup, adat, budi, dan kesedaran moral dan visi bangsa dan
masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan
seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa
Melayu. Pelbagai persoalan kehidupan dan masyarakat terangkum indah dalam
sesuatu karya.
Karya agung
Melayu juga bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan
dalam bentuk pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain dalam bahasa Melayu,
tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama
ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu,d atau orang Melayu Brunei, atau
orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan
karya itu. Persoalan sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di
manakah daerah asalnya di dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk
dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan,
falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun menurun.
Buku
Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan (2000) yang
mengutarakan perbahasan dan pengertian tentang karya agung Melayu telah
mentakrifkan karya agung sebagai karya yang berjaya meninggalkan kesan seni,
budaya dan pemikiran yang luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa.
Karya itu dianggap sebagai warisan bangsa dalam erti kata ia mewakili minda dan
pengalaman bersama (kolektif) bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana yang
dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradisi atau konsep ilmu,
adat, bahasa, seni dan pekerti, budaya dan sosial yang membentuk citra atau
identiti ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya agung
Melayu.
Malah terdapat
karya agung Melayu tradisional yang dijadikan penetapan penentuan karya agung
Melayu yang dianggap sebagai hasil kreativiti seni persuratan dan penceritaan,
dan sebagai pembentuk tradisi atau tamadun bangsa sehingga kesannya kekal dalam
kesedaran kebangsaan bangsa Melayu sepanjang zaman. Untuk itu, beberapa karya
kesusasteraan Melayu tradisional diterbitkan dalam edisi mewah yang menepati
ciri-ciri karya agung seperti Sulalat-al-Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa,
Tuhfat-al-Nafis dan Hikayat Hang Tuah. Ciri-ciri yang dimaksudkan adalah
lambang atau pesanan yang disampaikan oleh karya itu iaitu nilai seni budaya
dan falsafah atau pandangan hidup bangsa, nilai ilmu iaitu teknik kepengarangan
dan seni bahasa. Semua karya ini memperlihatkan tahap keunggulan kreativiti,
seni persuratan dan nilai budaya tinggi.
Konsep Karya Agung ini dapat dilihat melalui karya Hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang
Tuah merupakan salah satu karya agung Melayu yang amat berpengaruh.Hikayat ini
merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita, kebolehan, dan sikap
hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui hikayat
ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun
dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan budi
bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta
pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka
pada abad ke-15. Laksamana Hang Tuah ialah seorang yang berhati waja, berani,
gagah, taat dan bijaksana. Walaupun berbeza-beza corak penceritaan,
kepahlawanan Hang Tuah tetap ada dan sering menjadi simbol kekuatan masyarakat
Melayu.
Dari sudut falsafah pula, Hang Tuah diibaratkan sebagai nadi kekuatan yang
menjadi pujaan masyarakat terutamanya Melayu kerana keberanian dan budi pekerti
yang ditunjukkan. Sepertimana yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, penonjolan
Hang Tuah sebagai seorang yang kuat, gagah serta berani merupakan satu makna
falsafah yang sengaja ditonjolkan oleh penulis sebagai salah satu lambang
kekuatan kepada masyarakat Melayu itu sendiri. Sebenarnya, dalam Hikayat Hang
Tuah, perlambangan Hang Tuah itu sendiri merupakan satu falsafah yang telah
digerakkan dengan pelbagai keistimewaan yang tersendiri dan memiliki pelbagai
kelebihan. Segala tindak tanduk Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah memiliki
makna yang tersendiri serta yang tersirat.
Selain itu, Hikayat Hang Tuah banyak menceritakan kebudayaan dan sosial
masyarakat Melayu yang membawa satu pengertian yang luas merangkumi segala hal
berkaitan dengan masyarakat termasuk sistem
sosial, struktur sosial, bentuk kepercayaan, perhubungan antara anggota
masyarakat dan strategi fikasi sosial, kepercayaan dan agama juga merupakan dua
aspek sosial yang menjadi pegangan masyarakat. Masyarakat pada masa itu menganuti
agama Islam dan mengamalkan dua bentuk kepercayaan [bukan agama] iaitu
berunsurkan animisme dan Hindu-Buddha. Jelas, betapa pengarang hikayat ini
mempunyai idealisme untuk mengangkat martabat bangsa Melayu
setinggi mungkin. Perkara inilah yang dikatakan bahawa karya agung ini
melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu
dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat,
budi,kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya.
No comments:
Post a Comment