Sunday 26 May 2013

GAYA BAHASA SEJARAH MELAYU

Pengarang Sejarah Melayu memasukkan banyak kata-kata dan bidalan asing di dalam teks, antaranya:
a) Bahasa Arab
‘Malakat’ ertinya perhimpunan segala dagang.
Ungkapan Arab “Al-bikru fil-qawmi ahra la hum syarban” yang bermaksud yang sungai minum itu pada suatu kaum itu juga meminum dia (halaman 196).
Bidalan Arab yang dimasukkan dalam Sejarah Melayu ialah “Al-mahabbat bainun manfiyyun, wa’l’ isyqu fikrun manfyyun” ertinya yang kasih itu antara tiada, dan berahi itu bicara tiada (halaman 194).
b) Bahasa Jawa
“Pangeran, si anu sampun pejah”. Kata Patih Adam “Dimene”  ertinya “Biarkanlah”
Kata orang “ Kabih sampun pejah”. Maka sahut Patih Adam “ Dimene kang sampun pejah kabih isun putra dalam iki belane sunpadi”. Ayat tersebut membawa maksud “Biarlah habis mati semuanya, akan aku anak orang ini pun padalah”. (halaman 159)
c)Bahasa Siam
Kata Maharaja Dewa Sura, “Kwai, Kwai” yang bererti “perlahan-lahan” (halaman 74)
d) Bahasa Parsi
“Arayat juna bakhsanat sultan khasad” yang bererti “rakyat itu umpama akar, yang raja itu umpama pohon” (halaman 127)

BAHASA BERLAPIS
Antaranya:
a).        “Jikalau layu rumput di halaman Yang Dipertuan, sahaja seperti titah yang maha mulia itu patik kerjakan” (halaman 126). Ayat ini membawa maksud: jika tuanku mangkat, wasiat Tuanku itu akan disempurnakan.
b).        “Hai, hai lihatlah Seri Maharaja, anak harimau diajarnya makan daging, dia kelak ditangkapnya” (halaman 139 ). Ertinya ialah memberi manja atau menggalakkan untuk melakukan kekejaman.
c).        “ Nyaris lepas tangan” membawa maksud meninggal dunia
d).        “Basuhkan arang di mukaku ini” membawa maksud menuntut bela di atas penghinaan.
SIMILE
a).Seperti ular berbelit-belit lakunya (halaman 175)
b). Baginda pun melambung diri seperti ayam disembelih (halaman  176)

MONOLOG
a). Maka gajah itu dilanggarkan baginda ke balairong baginda sendiri, habis roboh-roboh. Maka titah baginda “ Demikianlah kelak balairong raja Melaka kulanggarkan dengan gajahku ini” (halaman 173)
b) Baginda pun terlalu murka, titah baginda “ Kits diperbuatnya oleh raja Melaka seperti kera, mulut disuapnya pisang, pantat dikaitkan dengan onak. (halaman 174)




Saturday 25 May 2013

GAYA BAHASA KARYA AGUNG - HIKAYAT HANG TUAH

SISTEM EJAAN
Sistem ejaan yang digunakan dalam hikayat ini merupakan sistem ejaan Jawi. Penggunaan huruf Jawi atau tulisan Arab ini dapat dilihat dengan jelas sekali menerusi perkataan “Bismillahirrahmanirrahim” dan wabihinastainubihi” yang kerap kali digunakan di dalam Hkayat hang Tuah. Perkataan tersebut telah ditulis dengan menggunakan huruf Jawi.

PENGARUH KOSA KATA ASING
Antara contoh perkataan yang dikesan menerusi Hikayat Hang Tuah yang menggunakan fonem Arab adalah seperti akhirat, syarat dan zaman. Penggunaan kata-kata dan gaya bahasa Arab didapati kurang sekali kecuali pada bahagian-bahagian tertentu. Hikayat Hang Tuah dipengaruhi oleh tiga jenis pengaruh bahasa asing yang utama iaitu pengaruh Hindu, Islam dan Panji Jawa.

Pengaruh Hindu-Sanskrit
Bukit Siguntang Mahabiru yang dijadikan negeri atau penempatan. dipercayai bahawa penggunaan “Mahabiru” dalam konteks ini adalah sama dengan perkataan “Mahaviru” yang bermaksud bukit suci (mengikut kepercayaan tradisi Hindu). Mengikut kepercayaan agama Hindu bukit Mahariru merupakan kediaman dewa-dewa Vishnu dan Shira. Gelaran “Laksamana” yang dianugerahkan kepada Hang Tuah dipercayai berasal dari perkataan Sanskrit yang bermaksud tanda atau markah keutamaan. Gelaran Laksamana diberikan kepada Hang Tuah yang merupakan lambang kesetiaan dan ketaatan yang sepenuhnya terhadap raja-raja.
Pengaruh Islam (Arab- Parsi)
Perkataan Arab sering digunakan sebagai mukadimah dalam karya-karya bahasa Melayu Klasik. Contohnya “Bismillahirrahmanirrahim” dan wabininastainubihi” yang merupakan pembuka kata. Selain dari perkataan-perkataan tersebut terdapat banyak lagi perkataanperkataan Arab-Parsi yang digunakan dalam hikayat ini. Perkataan-perkataan tersebut adalah seperti Allah subhanahuwata’ala, assalamualaikum, muallim, mua’azzam, alkisah,hatta, alkisah,ikrar, takzim dan banyak lagi.

Pengaruh Jawa
Penggunaan perkataan seperti Kyai, aji, ubun-ubun, fakanira, manira, kula dan sebagainya jelas menunjukkan pengaruh Jawa yang begitu meluas di dalam Hikayat hang Tuah ini. Nama kerabat diraja dan golongan bangsawan Melaka dan Terengganu menggunakan gelaran Jawa berdasarkan nama-nama yang diberikan kepada kedua-dua puteri baginda raja Melaka, iaitu Raden Bahar dan Raden Baju. “Raden” merupakan gelaran diraja yang sering digunakan kepada putera raja Jawa yang sama ertinya seperti gelaran Tengku, Engku dan Raja. Panggilan Kyai pula adalah gelaran yang diberikan kepada para alim ulama. sering kali digunakan dalam Hikayat Hang Tuah. Perkataan “Kyai” ini samalah ertinya dengan perkataan Ustaz, Imam, Haji dan Lebai.

PENGULANGAN KATA
Perkataan-perkataan yang sering kali digunakan secara berulang-ulang di dalam Hikayat Hang Tuah ialah setelah alkisah hatta maka sebermula arakian syahadan dan sekalian.

PENGGUNAAN KATA PANGKAL AYAT
Penggunaan kata pangkal ayat ini turut terdapat dikesan pada Hikayat Hang Tuah.
Antara contoh kata pangkal ayat yang digunakan adalah seperti berikut :
Syahadan maka paduka ayahanda bonda pun terlalu amat kasih akan anakanda baginda itu. Hatta berupa lamanya maka Tuan Puteri Kemala Ratna Pelinggan pun besarlah, makin besar makin bertambah baik rupanya. Hatta beberapa raja-raja hendak meminang dia, tiada juga diberikan oleh ayahanda bonda baginda.

PENGGUNAAN AYAT YANG PANJANG, BERULANG-ULANG DAN BERBELIT-BELIT
Contohnya:
Apabila tuan puteri dan segala isi istana itu mendengar bunyi-bunyian dan melihat segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaiannya terlalu indah-indah - rata terbang itu pun dengan perhiasannya keemasan - datang mendapatkan Sang Perta Dewa itu bertatahkan ratna mutu manikam, maka Tuan Puteri Pelinggam pun tahulah akan Sang Perta Dewa itu anaknya besar turun dari keinderaan.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 6)
AYAT HIPERBOLA
Menerusi contoh ayat yang diberi, jelas kelihatan daripada wacana-wacana pemerian pengarang terhadap kecantikan dewa-dewa yang turun dari kayangan. Antara contoh gaya bahasa hiperbola berbunyi :
Segala perintah dewa-dewa turun terlalu banyak datang dengan pakaian terlalu indah-indah - rata terbang itu pun dengan perhiasannya keemasan.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 6)
PENGGUNAAN AYAT PASIF DAN SONSANG
Antara contoh ayat yang menunjukkan ciri-ciri penyongsangan ayat adalah seperti yang berikut :
Setelah sudah bermuat maka nakoda itu pun turunlah keperahunya lalu berlayar ke Palembang.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 13)
GAYA BAHASA

BAHASA KIASAN
Penggunaan bahasa kiasan ini merupakan gambaran sesuatu peristwa dapat disampaikan dengan jelas dan menarik. Peristiwa-peristiwa yang melibatkan penggunaan bahasa kiasan ini ialah :
a. Ular cintamani yang ditangkap oleh Hang Tuah di Pulau Biram Dewa telah digambarkan sebagai :
…….. rupanya dan besarnya seperti pisang emas dan warnanya seperti emas sepuluh mutu.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 43)

b. Pelanduk Putih yang menerajang anjing Raja Melaka ke dalam sungai itu digambarkan :
……. seekor pelanduk putih, seperti kambing besarnya.
(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 67)

GAYA BAHASA PERTENTANGAN
Menerusi Hikayat Hang Tuah beberapa ayat yang menggunakan gaya bahasa pertentangan telah dikenal pasti. Gaya bahasa pertentangan sebenarnya bertujuan untuk mencela, mengkritik dan meyakiti hati seseorang. Antaranya adalah,
“Cis? Si Tuah itu hendak menunjukkan laki-lakinya kepadaku? Tetapi Si Tuah itu bukan padanku; padanku Raja Melaka juga. Adapun pertikamanku yang empat ribu ini kuamuk di dalam negeri Melaka itu sejam lamanya; syahadan gajahku yang bernama Syah Kertas yang gila makan minyak ini kurandungkan pada balairung raja Melaka yang tujuh belas ruang itu. Jikalau tiada kuperbuat demikian seperti cakap ini, bukanlah anak raja Terengganu”.

(Dipetik daripada Hikayat Hang Tuah, halaman 254)

STRATA MASYARAKAT MELAYU

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), strata juga membawa maksud yang sama bagi stratifikasi, iaitu pembahagian masyarakat kepada beberapa lapisan atau kelas yang berlainan, susun lapis masyarakat, pembahagian kepada atau pembentukan strata. Sulalat al-Salatin telah memaparkan gambaran tentang susun lapis masyarakat Melayu yang pada umumnya dapat dikategorikan kepada beberapa peringkat.
Golongan diraja dan kerabat menduduki susun lapis yang teratas. Di Melaka dengan mengambil contoh semasa pemerintahan Sultan Muhammad Syah, golongan raja terdiri daripada sultan dan keluarganya (Sulalat al-Salatin: 65). Kuasa pemerintahan adalah terletak di bawah baginda. Seseorang raja didakwa mempunyai kepintaran serta keistimewaan tertentu sebagai raja yang berdaulat.
Golongan bangsawan menduduki tangga yang kedua. Golongan ini pula terdiri daripada pembesar dan pegawai tadbir seperti Bendahara, Laksamana, Penghulu Bendahari, Perdana Menteri, Temenggung, Bentara, Syahbandar. Terdapat juga dalam kalangan pendatang yang tergolong dalam golongan bangsawan ini. Antaranya ialah ulama Islam yang terdiri daripada tuan-tuan sayid, makhdum, maulana, dan kadi. Hubungan mereka dengan raja sangat erat. Seseorang tokoh ulama begitu disanjung dan dihormati oleh masyarakat Melaka. Sultan Melaka sendiri terpaksa tunduk dan menghormati golongan ulama ini. Hal ini terjadi apabila seorang guru bernama Kadi Yusof enggan membenarkan Sultan Mahmud Syah mengadap dengan menaiki gajah (Sulalat al-Salatin: 161) .
Susun lapis yang ketiga ialah golongan rakyat biasa yang merdeka. Golongan ini terdiri daripada pedagang, tukang-tukang mahir, petani dan juga saudagar. Dalam hal ini, terdapat juga dalam kalangan saudagar yang mempunyai hubungan erat dengan golongan atasan seperti Raja Mendeliar, Nina Sura Dewana, Kitul sebagainya. Kitul dapat dikatakan rapat dengan Raja Mendeliar kerana mempunyai hutang dengan Raja Mendeliar, namun Kitul telah menyampaikan fitnah bahawa Nina Sura Dewan pergi berjumpa dengan Benhara Seri Maharaja untuk merancang pembunuhan ke atasnya. Secara tidak langsung, Raja Mendeliar menghapuskan hutang Kitul terhadapnya (Sulalat al-Salatin: 204). Ketua kapal atau nakhoda juga mempunyai keistimewaan kerana dianggap sebagai raja di atas kapal.
Golongan hamba susun lapis masyarakat yang paling bawah dalam struktur atau susun lapis masyarakat Melayu. Golongan hamba terdiri daripada hamba raja, hamba berhutang dan hamba abdi. Sulalat al-Salatin jelas menunjukkan institusi ini wujud sebelum tertubuhnya Kesultanan Melayu Melaka. Ini dapat dilihat pada Badang yang telah diterima sebagai pahlawan Singapura yang sebelum ini ditugaskan oleh tuannya untuk membersihkan hutan. Kekuatannya itu telah mengubah status sosialnya daripada seorang hamba kepada rakyat biasa yang merdeka (Sulalat al-Salatin : 37). Tun Mutahir dikata mempunyai bilangan hamba yang banyak sehingga tidak dikenalinya  (Sulalat al-Salatin: 203).


PENGASIH

Pengasih membawa makna ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, guna-guna dan lain-lain untuk mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih (Kamus Dewan, 2010). Ilmu pengasih ini adalah untuk mendapat pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain. Lazimnya, ilmu pengasih digunakan oleh seseorang kerana mungkin orang yang disukai itu tidak menyukainya atau orang itu terlalu jual mahal. Ilmu pengasih boleh digunakan dengan banyak cara, namun cara yang popular adalah dengan cara mencalitkan sesuatu minyak kepada seseorang yang berkenaan atau dengan cara menjampi gambar dan sebagainya. Contoh ayat jampi pengasih ialah:

“Kun sarik panjik-panjik
Bagurung bagirang
Taulas takani ngidan
Kasih sayang (anu) memandang akuk
Cinta sayang (anu) melihat akuk
Dengan berkat
Lailaha il-Lallah
Muhammad ar-Rasulullah”
         
 (Mana Sikana : 67)

Hang Nadim menggunakan ubat guna-guna untuk memikat Tun Teja. Ubat guna-guna tersebut dalam bentuk lulut (bedak) itu ternyata berkesan. Setelah ia disapu kepada badan Tun Teja oleh si pelulut beliau dengan serta-merta menyukai Sultan Mahmud dan sanggup menjadi isteri baginda.
                                                                                                                                                         (Sejarah Melayu:170)


Ilmu pengasih ini boleh dilakukan dengan dua cara, iaitu dengan menyapu bedak yang telah dijampi dengan ayat tersebut ke muka atau dengan cara mandi dengan air yang telah dijampi. Sekiranya seseorang itu menggunakan jampi ini, dia tidak boleh lalu di bawah ampaian dan tidak boleh mengerjakan maksiat seperti mencuri. Jika dilakukan juga, jampi tersebut tidak akan mujarab. Pengamal jampi ini juga tidak boleh melangkah tulang babi dan sebaik-baiknya dia hendaklah terus kepada matlamatnya. Selain untuk perkasihan, jampi ini juga boleh digunakan untuk bertemu dengan orang yang tertentu untuk tujuan baik. Misalnya ketika hendak berwawancara atau temu duga pekerjaan, meminta pertolongan atau sebagainya.

JAMPI

Jampi menurut Kamus Dewan (2010), membawa makna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Mana Sikana (1996) pula berpendapat bahawa jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi. Ia ada hubungannya dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi dikatakan sebagai sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutamanya pada perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural.
Kedudukan pawang dalam hierarki kemasyarakatan adalah jelas. Jampi mantera yang diucapkan telah mendapat tempat yang istimewa. Jampi mempunyai unsur-unsur pemujaan, perubatan, kasih sayang, pendinding dan berhubung dengan psikologi manusia. Biasanya pawang, dukun, bomoh atau orang yang memakainya tidak begitu mudah memberikan jampi serapahnya kepada orang lain. Mereka bimbang jampi serapah yang diketahui itu tidak mujarab lagi, melainkan orang yang sudah menuntut dan orang lain tidak boleh menggunakannya. Jika digunakan juga dia akan menerima padahnya.
Satu hal yang menarik ialah jampi biasanya disampaikan dalam bahasa Banjar. Penjelasan tersebut jelas menunjukkan bahawa kepercayaan yang masih sebati terhadap kuasa ghaib seperti yang terdapat dalam jampi. Jampi-jampi dikatakan boleh diwarisi oleh orang tertentu. Menurut Mana Sikana (1996), jampi mempunyai tiga jenis, iaitu jampi menolak syaitan, jampi tawar biasa dan seterusnya ialah jampi pendinding. Jampi yang pertama dan ketiga ialah jampi jenis larangan, manakala jampi yang kedua ialah jampi jenis perubatan.
Jampi menolak syaitan digunakan untuk menghalau sekalian jenis jin. Jampi ini juga digunakan untuk mengubat penyakit yang berkaitan dengan makhluk halus tersebut. Jampi menolak syaitan ini boleh sahaja digunakan pada bila-bila masa yang dirasakan perlu. Contohnya, jampi ini boleh digunakan ketika seseorang berjalan di tempat yang sunyi atau apabila berasa takut dan boleh juga digunakan apabila dirasakan diri diganggu oleh sesuatu. Cara menjampinya adalah seseorang itu perlu memandang tegak ke hadapan. Selepas sekali dibaca, hendaklah ditiup ke kiri dan ke kanan sebanyak tiga kali. Jampi ini perlu dibaca sebanyak tiga kali berturut-turut. Contoh yang terdapat dalam karya agung ialah:

“Permulaan kata aku menyatakan
Hakikat jin seribu empat puluh dua lagi
Aku tahu akan asal usul dirimu
Asal diri jadi di huruf Alif
… dengan berkat La ilaha illallah”

(Kitab Tib 1292)

Jampi tawar bisa pula boleh digunakan untuk kesakitan serius seperti digigit ular berbisa dan boleh membawa maut atau kebakaran yang boleh mencacatkan. Jampi ini boleh digunakan dengan dua cara, iaitu yang pertama ialah dengan cara menjampi terus pada tempat yang sakit. Selepas pembacaan, hendaklah ditiup pada tempat yang sakit tersebut dan sebaik-baiknya pesakit haruslah duduk di tempat yang arahnya menerima angin kerana dipercayai bahawa angin tersebut mampu menolong mencabut bisa yang ditanggungnya. Cara yang kedua pula ialah dengan cara pembacaan ke dalam air. Selepas dijampi, air tersebut perlulah diminum, di mandi atau disapukan ke kepala. Air tersebut tidak boleh dilangkah terutama sekali oleh kucing. Air itu perlu disimpan di tempat yang tinggi dan tidak boleh diletakkan di dalam peti sejuk. Sebaik-baiknya, air itu ialah air hujan yang ditadah dan turun betul-betul dari langit serta tidak tersangkut di mana-mana lagi sebelumnya.
Jampi pendinding adalah jampi jenis yang cukup dominan dalam masyarakat Melayu. Jampi jenis ini boleh dikatakan dipelajari dan dipakai oleh kebanyakan orang Melayu sebagai alat pengebal atau mempertahankan diri daripada perbuatan orang, baik secara halus ataupun terang. Jampi ini boleh digunakan dengan cara meminum air yang telah dijampi atau jampi tersebut boleh ditulis di atas kertas lalu dipakai sebagai azimat. Namun, azimat tersebut tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan tidak boleh berniat jahat. Jampi ini berfungsi sebagai pendinding diri kerana niat jahat, hasad, fitnah dan sebagainya tidak akan sampai kepada pengamalnya, malah dalam beberapa keadaan perbuatan jahat itu tadi akan kembali kepada si pelaku itu semula.
Perkara-perkara yang berkaitan dengan jampi juga ada sedikit sebanyak disebut dalam karya-karya agung seperti Hikayat Abdullah, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Seri Kelantan dan lain-lain lagi. Contohnya ialah:
“Pawang ini pandai sungguh, sebab membaca-bacakannya, gajah itu pun takut akan dia”.
(Hikayat Abdullah: 55)

Ayat tersebut membuktikan bahawa pengarang Hikayat Abdullah ada menceritakan tentang jampi dan jampi itu bermaksud pawang yang diceritakan itu sungguh pandai kerana mampu menjinakkan gajah dengan hanya menjampinya sahaja. Contoh yang kedua ialah jampi Tuan Puteri Sa’dong menyebabkan Kota Jelasin dan rakyat ghaib lalu jatuh ke dalam Cerang Bahana yang kemudian diberi nama Mahligai.

“Maka jogi itu pun pengsan sebab daripada keramat sultan itu”.
(Hikayat Raja Pasai: 35)

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa jampi juga ada diceritakan dalam Hikayat Raja Pasai. Hal ini kerana ayat tersebut menunjukkan bahawa jogi itu pengsan disebabkan sultan tersebut mempunyai tongkat sakti atau tongkat yang telah dijampi. Contoh seterusnya ialah:

“Hai sahabat, jangan mu duduk menggoda dan menyiksa pada mulut manusia kerana mulut manusia itu tempat puji Allah dan puji Muhammad…”
(Kitab Tib 1078: 65)

Jampi di atas ialah contoh jampi sahabat. Jampi ini merupakan jampi yang jenis nasihat ke arah kebaikan. Jampi ini boleh digunakan kerana ia tidak bertentangan dengan syariat tidak boleh memesongkan akidah.



ILMU PERDUKUNAN

Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh, pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun.
Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam kepercayaan itu mereka menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah pemujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung-gunung dan fenomena lain. Kuasa ghaib itu tidak boleh dihubungi oleh orang sembarangan, jadi dukun, pawang atau bomoh diperlukan. Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya.
Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya. Di Melaka, terdapat orang yang begitu arif tentang gajah, bergelar Penghulu Gajah. Antaranya adalah Seri Wak Raja. Contoh petikan berkaitan dengan ini :

Sekalian orang pun melihat tahunya Seri Wak Raja; gajah penakut jadi beraninya.
                                                                                                                                                                                (Sulalatus Salatin : 209)

Terdapat juga golongan istana yang menggunakan dukun atau ahli nujum terutama sebelum kedatangan Islam atau tahap-tahap awal kemasukannya. Peranan ahli nujum agak berbeza dengan bomoh. Dia lebih kepada membuat ramalan. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, keturunan raja Kedah yang memerintah Siam meminta ahli nujumnya mencari pengganti raja Kedah setelah Raja Bersiung hilang dalam perdu buluh betung. Ahli nujum itu melepaskan gajah sakti untuk mencari raja yang baru. 

ILMU FIRASAT

Menurut Kamus Dewan (2008), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat. Menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui lebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama, haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlawan-pahlawan kerana dengan itu ia boleh membantu mereka menewaskan musuh.
Sejarah Melayu memaparkan dengan jelas perkara tersebut dalam episod serangan Melaka ke atas Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan-pahlawannya mengejar Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri. Dalam usaha itu Seri Bija Diraja tidak tergesa-gesa seperti orang lain kerana dia tahu musuhnya itu tidak akan terlepas dari tangannya. Ini dapat dilihat daripada kata-kata beliau kepada anak buahnya.
Di mana kamu semua orang muda-muda tahu? Kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku kira-kirakan namanya di bawah namaku, dan harinya di bawah hariku dan ketikanya di bawah ketikaku, di mana ia akan lepaskan daripada tanganku?
                                                                                                                                                                (Sejarah Melayu :74)

Berdasarkan contoh petikan di atas, ramalan Seri Bija Diraja itu memang tepat. Beliaulah yang  telah berjaya menangkap Maharaja Dewa Sura.
Dalam Hikayat Hang Tuah juga disebutkan tentang pengamalan ilmu firasat. Amalan ilmu firasat ini dapat dilihat sewaktu Raja Melaka hendak berangkat ke Majapahit untuk berkahwin dengan puteri negeri tersebut. Masa yang dipilih oleh Raja Melaka dipersetujui oleh Hang Tuah kerana menurutnya ketika tersebut (hari Ahad malam Isnin) adalah waktu yang geroda dikalahkan oleh seekor ular. Kiasan itu membawa erti, orang atau pihak yang kuat dan besar dapat ditewaskan oleh orang atau pihak yang lebih kecil. Ramalan Hang Tuah itu ternyata tepat apabila beliau dan rombongan tersebut beroleh kejayaan di Majapahit. Beliau dan rakan-rakannya dapat mengetahui segala tipu helah serta percubaan membunuhnya oleh pembesar dan perajurit negeri itu.
Kepercayaan kepada ilmu firasat mungkin boleh dikaitkan dengan konsep ‘memilih ketika’ dalam kalangan masyarakat Melayu. Umpamanya dalam seminggu terdapat hari-hari tertentu yang baik dan buruk serta sial. Begitu juga dengan bulan-bulan tertentu dalam masa setahun. Oleh yang demikian, mereka yang memilih ketika yang baik untuk memulakan sesuatu pekerjaan  atau rancangan seperti mendirikan rumah, mengerjakan sawah dan memulakan perjalanan untuk merantau. Bagi mereka, ‘memilih ketika’ itu penting untuk mengelakkan daripada bencana atau sebarang keburukan.
Di Acheh, waktu Pencagah atau Iskandar Muda Mahkota Alam dalam kandungan, ibunya bermimpi bersanggulkan bulan yang dihiasi buang air kecil yang terlalu banyak sehingga menjadi laut. Dalam mentafsir mimpi itu, Fakih Khoja Manassiah berpendapat :

Tuanku, adapun takbir mimpi sultan itu Insya-Allah taala (tak dapat) tiadalah daripada zuriat sultan menjadi raja yang maha kuasa lagi terlalu besar gahnya lagi mengempukkan segala raja-raja daripada segala pihak Timur dan daripada segala pihak Barat. Dan paduka anakanda itulah melimpahkan takhta adilnya dan ialah matahari yang betak (tetap) di bumi musyrik ini.
                                                                (“De Hikajat Atjeh” :115)

Dalam historiografi Melayu tradisional lain, unsur mimpi turut memainkan peranan penting. Di dalam Fasal 13, Bab II Bustan al-Salatin ini pun, unsur mimpi dikemukakan walaupun dalam dua episod sahaja. Nuruddin menceritakan bahawa Sultan Iskandar Muda telah bermimpi tentang air persiraman  puterinya dan Iskandar Thani. Sultan Iskandar Muda teah bermimpi pada malam Isnin, 12 Jamadilakhir, iaitu turun sebuah mahligai daripada cahaya dengan perhiasannya berisi air mandi dibawa oleh malaikat dari langit. Malaikatlah yang memandikan kedua-dua pasangan muda itu. Esoknya Sultan Iskandar Muda menitahkan bahawa mereka tidak perlu lagi dimandikan oleh Syeikh Syamsuddin dan Kadi Malik al-Adil. Petikannya :

Maka pada pagi-pagi hari sabda Raja Iskandar Muda kepada nenda Raja Serba Bawa, “Katakan kepada bondakuku Syah Alam, janganlah bersusah lagi memandikan anankku kedua! Sudahlah mandi keduanya daripada air yang turun dari kudrat Allah Taa’la!
                                                                            (Bustan Al-Salatin :18) 
         
Mimpi yang kedua ialah yang muncul dalam tidur seorang pembuat batu nisan. Setelah Sultan Iskandar Thani mangkat, baginda digelar Marhum Dar al-Salam. Permaisurinya yang menjadi sultan memerintahkan juru batu nisan mencipta satu batu nisan yang terbaik untuk suaminya. Masa itulah Marhum Mahkota Alam muncul di dalam mimpi juru batu supaya melebihkan  perbuatan batu itu pada makam Marhum Dar al-Salam. Petikannya adalah seperti berikut :

Syahadan adalah yang mengadap Raja Nisyan itu orang berpedang suasa. Maka pada suatu malam ia bermimpi Paduka Marhum Mahkota Alam bersabda kepadanya dengan kahar, Hai segala pandai, kamu lebihkanlah perbuatan batu ini daripadaku.
                                                                                                            (Bustan Al-Salatin : 45)

Kedua-dua mimpi ini mempengaruhi tindakan-tindakan secara sedar orang-orang yang terlibat dalam episod-episod berkenaan. Nyata dalam Fasal 13 ini, unsur mimpi tidak dianggap sebagai membawa makna sesuatu atau perlu dibuat interprestasi tetapi merupakan komunikasi langsung daripada satu pihak di dunia tidak nyata kepada pihak di dunia nyata.
Ilmu firasat juga dilakukan terhadap binatang. Hal ini disebutkan dalam hikayat Melayu iaitu Hikayat Raja Pasai. Berikutan itu, anjing diberikan penghormatan oleh Raja-raja Melayu zaman terdahulu. Anjing memainkan peranan penting sehingga tertubuhnya sesebuah negeri. Dalam Hikayat Raja Pasai, penemuan negeri Pasai juga dikaitkan dengan anjing perburuan Merah Silu (sesudah memeluk Islam, bergelar Sultan Malikul Saleh). Anjing perburuan itu telah menyalak di sebuah tanah tinggi tanpa henti. Sultan Malikul Saleh kemudian berasakan bahawa tempat itu sesuai dibuat negeri lalu dinamakan tempat itu Pasai, sempena nama anjing perburuan tadi. Contoh petikan :

Maka tersebutlah perkataan Merah Silau di Rimba Jerana itu. Sekali persetua pada suatu hari Merah Silau pergi berburu. Maka ada seekor anjing dibawanya akan perburuan Merah Silau itu bernama Si Pasai. Maka dilepaskannya anjing itu, lalu ia menyalak di atas tanah tinggi itu. Maka dilihatnya ada seekor semut besarnya seperti kucing. Maka ditangkapnya oleh Merah Silau maka lalu dimakannya. Maka tanah tinggi itu pun disuruh Merah Silau tebasi pada segala orang yang sertanya itu. Maka setelah itu diperbuatnya akan istananya ...
                                                                                                                                                  (Hikayat Inderaputera :13)


ADAT TEMENGGUNG

Ramai penulis dan sarjana yang menulis dan mengkaji tentang adat masyarakat Melayu di semenanjung Malaysia beranggapan bahawa adat yang diamalkan di luar Negeri Sembilan adalah Adat Temenggung. Adat ini diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan (abang tiri kepada Datuk Perpatih Nan Sebatang yang mengasaskan Adat Perpatih) yang berasal dari Sumatera. Wujudnya istilah "Adat Temenggung" adalah berkait dengan munculnya istilah "Adat Perpatih" kerana istilah ini tidak ada dalam budaya Melayu yang awal. Disebabkan oleh Adat Temenggung diamalkan di hampir semua negeri-negeri Melayu, maka Adat Temenggung telah bercampur dengan undang-undang adat Melayu sedia ada yang mempunyai nama yang berbeza mengikut negeri. Aspek yang terdapat dalam adat Temenggung, antaranya ialah :

 i.                   Sistem Politik dan Kekuasaan
Raja atau sultan merupakan kedudukan yang paling tinggi dalam struktur politik di negeri-negeri Melayu yang tidak mengamalkan Adat Perpatih. Di bawahnya terdiri daripada kerabat diraja bergelar yang berhak, mengikut giliran, mewarisi takhta kerajaan apabila raja atau sultan mangkat. Seterusnya terdapat pembesar-pembesar yang memegang portfolio tertentu iaitu penasihat raja dalam semua aspek pentadbiran negeri. Raja atau sultan mempunyai hak keistimewaan dan kuasanya diperkukuhkan melalui konsep daulat dan derhaka.
Raja atau sultan dalam negeri-negeri Melayu diberi kuasa penuh dalam menentukan corak pemerintahan di negeri-negeri Melayu. Pada zaman dahulu, corak pemerintahan negeri-negeri Melayu bercorak autokrat. Baginda selalunya diakui sebagai lambang kesatuan rakyat dan sebagai ketua negara. Sistem pertabalan baginda berdasarkan keturunan atau warisan. Anak lelaki sulung akan dilantik sebagai raja sekiranya raja mangkat. Sekiranya raja atau sultan tidak mempunyai waris, maka gelaran ini akan diturunkan kepada adik lelakinya. Sekiranya kedua-dua ini tiada, maka gelaran ini diturunkan kepada Raja Bendahara.
Lihat contoh di bawah:
a.                  Politik
Hatta setelah empat puluh dua tahun umur Sultan Muzaffar Syah di atas kerajaan, maka baginda pun mangkatlah. Maka anakanda baginda Raja Abdullah, menggantikan ayahanda baginda.
      (Sulalatus Salatin, 1979: 96)

Setelah Sultan Ahmad sudah mangkat, maka oleh Sultan Mahmud anakanda baginda Raja Muzaffarlah di timbangkan baginda akan kerajaan...Tun Khoja Ahmad, anak Bendahara Lubuk Batu, dijadikan Sultan Mahmud Bendahara, bergelar Paduka Raja, Tun Abu Ishak, anak Orang Kaya Tun Abu Sahid, dijadikan Perdana Menteri, bergelar Seri Amar Bangsa.
(Sulalatus Salatin, 1979: 271)

b.                  Kekuasaan (daulat dan derhaka)
Bendahara Paduka Raja pun berwasiatkan kepada segala anak cucunya ... jangan kamu sekaliannya melupai daripada berbuat kebaktian ... raja itu umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagi pula raja itu umpama ganti Pencipta (Allah) dalam dunia.
                                                                                         (Sulalatus Salatin, 1979: 190)
ii.                   Perundangan
Bentuk dan pelaksanaan hukumannya adalah lebih tegas dan keras, bertujuan menghukum serta berpegang kepada prinsip pembalasan semata-mata. Oleh itu, pelaksanaan sesuatu hukuman dibuat dengan tegas agar dapat memberi iktibar dan amaran kepada orang lain. Hukuman bunuh dikenakan atas kesalahan berat seperti membunuh, mencuri, memfitnah dan menderhaka kepada raja. Hukuman bunuh dilakukan oleh raja atau sultan sahaja. Lain-lain hukuman boleh dilakukan oleh pembesar-pembesar.
Undang-undang atau peraturan yang diamalkan dalam Adat Temenggung lebih memihak kepada golongan atasan atau pemerintah. Hal ini bermaksud, sekiranya rakyat melakukan kesalahan yang sama dilakukan oleh kerabat diraja, hukuman yang diterima oleh golongan rakyat lebih berat berbanding hukuman yang dikenakan kepada kerabat diraja.
Beberapa contoh dapat ditemui dalam dua karya agung iaitu Sulalatus Salatin dan Undang-undang Melaka yang mana peristiwa atau catatannya dapat dikategorikan dalam Adat Temenggung. Contohnya, kita lihat di bawah:
Maka titah baginda (Sultan Alau’d-Din) kepada Seri Maharaja: Jikalau orang mendapat harta orang, jika tiada dipulangkannya pada yang empunya, disuruh baginda kudung tangannya...
      (Sulalatus Salatin, 1979: 175)
Pada suatu malam Seri Maharaja berkawal, bertemu dengan seorang pencuri, maka diparang oleh Seri Maharaja dengan pedang bertupai, putus bahunya...
      (Sulalatus Salatin, 1979: 175)
Fasal yang kesebelas pada menyatakan hukum orang mencuri. Adapun jikalau seseorang mencuri lagi dalam kampung itu, maka tahu orang yang empunya itu, maka dibunuhnya, tiadalah lagi salah yang membunuh itu.
                    (Undang-undang Melaka, 2003: 113)
Contoh di atas menggambarkan bahawa hukuman yang dikenakan seperti yang diamalkan dalam Adat Temenggung lebih keras dan tegas.

iii.                   Perkahwinan
Aturan perkahwinan dalam Adat Temenggung banyak didasari dengan hukum Islam. Ini sejajar dengan prinsip hukum syarak yang mengiktiraf lelaki sebagai ketua keluarga. Lelaki dibenarkan kahwin dengan sesiapa sahaja asalkan tidak bertentangan dengan hukum syarak. Sekiranya mempunyai pertalian darah atau muhrim, perkahwinan dilarang. Contoh dalam karya agung seperti:
“Jikalau ada perempuan berbapa atau bernini atau saudaranya laki-laki, itulah akan walinya perempuan itu”
“...jauh wali itu daripada negeri sehari semalam...maka haruslah hakim walinya”
“Ia yatim, itu pun hakim akan walinya itu”
“Adapun segala syarat ini, maka berlakulah hukum nikah yang pada kitab Allah Ta’ala...”
       (Undang-undang Melaka, 2003: 130)
Contoh-contoh di atas membuktikan bahawa perkahwinan dilakukan berdasarkan agama Islam, sama seperti dalam kebiasaan Adat Temenggung.


ADAT PERPATIH

Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning di Melaka. Nama Adat Perpatih diambil sempena gelaran orang yang menyuruh Adat Tuah Disakato, yakni adat yang diamalkan di Minangkabau, Datuk Parapatieh Nan Sabatang (Datuk Perpatih Nan Sebatang). Menurut Newbold (1839: 76 dalam buku Adat Perpatih: perbezaan dan persamaannya dengan Adat Temenggung), Negeri Sembilan semasa kedatangan perantau Minangkabau ke semenanjung Tanah Melayu, bukanlah kawasan yang tidak berpenghuni.
Semenjak orang Negeri Sembilan dan Naning mempunyai hubungan dengan masyarakat luar terutamanya orang-orang Eropah (Inggeris), cara hidup masyarakat Adat Perpatih telah dipengaruhi, malah diubah oleh elemen-elemen baru yang mewakili nilai-nilai yang tidak pernah dikenali sebelum ini. Jadual di bawah memberi penerangan mengenai perbezaan yang dialami oleh Adat Perpatih terutamanya sebelum dan selepas kedatangan pihak penjajah.

Sebelum kedatangan Penjajah
Perkara
Selepas Kedatangan
Penjajah

Yang Dipertuan Besar, Undang, Lembaga, Buapak dan Perut

Politik

·         Mengikis dan mengetepikan fungsi perwakilan politik (kuasa ketua adat- Undang, Lembaga, Buapak dikecilkan dan diganti dengan seorang Residen)
·         Residen dibantu oleh Pegawai Daerah.

Mewariskan tanah kepada kaum wanita dan kaum lelaki hanya sebagai penjaga.


Warisan Tanah

Sistem hak milik individu

Lelaki tidak boleh menikahi wanita dari sukunya sendiri.

Perkahwinan

Kaum lelaki berkahwin dengan wanita di luar masyarakat, hal yang sama juga berlaku dengan kaum wanita. (penghijrahan)

Pertanian

Ekonomi

·         Perdagangan
·         Pedalaman (berniaga kecil-kecilan dan bercucuk tanam- sawah padi)