Monday 29 April 2013

UNSUR MITOS YANG TERDAPAT DALAM SULALAT-US-SALATIN

PEMBUKAAN BEBERAPA BUAH NEGERI
Pembukaan negeri Melaka. Pembukaan negeri Melaka dapat dikaitkan dengan peristiwa seekor pelanduk putih yang telah mengalahkan seekor anjing. Raja Iskandar Syah kagum dengan kekuatan pelanduk tersebut. Baginda seterusnya bercadang untuk membuka negeri di kawasan tersebut.  Nama negeri Melaka berasal daripada nama pokok, iaitu pokok Melaka. Raja Iskandar Syah bersandar pada sebatang pokok dan menanyakan nama pokok berkenaan pada para pengikutnya. Baginda seterusnya menjadikan nama pokok berkenaan sebagai nama negeri yang baru dibuka. Mitos ini ada diceritakan dalam Sulalatus Salatin pada halaman ke-71.
Maka Raja Iskandar Syah pun berjalan balik membaruh, lalu terus kepada sebuah sungai, Bertam namanya, dan kualanya berbukit. Maka baginda pun datanglah ke sana, berhenti di bawah sepohon kayu, terlalu rampak, maka baginda menyuruh berburu, sekonyong-konyong terjun anjing dihambat pelanduk. Titah baginda “ baik tempat ini diperbuat negeri, anjing alah oleh pelanduk, jikalau orangnya betapa lagi?”. Maka sembah orang, “kayu Melaka namanya, tuanku,”. Maka titah Raja Iskandar Syah, “ Jika demikian, Melakalah nama negeri ini.” 

Asal- usul Singapura pula dapat dikaitkan dengan peristiwa kemunculan seekor binatang yang bernama ‘singa’. Pembukaan Singapura melibatkan Seri Teri Buana, Demang Lebar Daun, Menteri Bupala dan Batala. Semasa pembukaan Singapura, Seri Teri Buana berteduh di bawah pokok jambu. Kemudian, tiba-tiba baginda melihat seekor binatang yang berbulu merah pada tubuh dan mempunyai kepala yang berwarna kehitam-hitaman serta mempunyai bulu berwarna putih pada dada melintas dengan agak pantas di hadapan baginda. Seterusnya, baginda bertanyakan nama binatang berkenaan kepada pengikutnya dan menamakan negeri yang baru dibuka itu dengan nama haiwan tersebut. Kisah pembukaan negeri Singapura ada diceritakan dalam Sulalaus Salatin pada halaman ke- 40.
Maka baginda semayam di bawah pohon jambu laut, dihadap segala Orang Besar-besar , berbicara hendak membuat negeri, seraya menitahkan rakyat menebas kayu di padang itu. Maka segala rakyat pun naiklah menebas, sekonyong-konyong melintas seekor binatang maha tangkas lakunya merah warna bulu tubuhnya, kehitam-hitaman kepalanya, dan putih dadanya, sikapnya terlalu perkasa, besar sedikit daripada kambing randuk. Setelah ia melihat orang banyak itu, lalu ia melompat, ghaib daripada mereka itu. Maka titah Seri Teri Buana, “Apa nama binatang serupa itu?”. Maka seorang pun tiada menyahut. Maka sembah Demang Lebar Daun, “ Tuanku, ceritera orang  patik dengar, yang demikian sifat dan kelakuan binatang itu, singa konon namanya, tuanku.” Maka titah baginda, “ Patutlah kita perbuat negeri tempat ini, kerana binatang gagah ada di dalamya, dan sebutlah Temasek ini Singapura”, sampailah sekarang disebut orang ‘Singapura’.

Pembukaan Pasai pula dapat dikaitkan dengan peristiwa anjing Sultan Maliku’s Salleh yang bernama Si Pasai menyalak di suatu kawasan  tanah tinggi. Negeri yang baru dibuka oleh Sultan Maliku’s Salleh itu diambil sempena nama anjingnya, Si Pasai. Kisah pembukaan negeri Pasai ada diceritakan dalam Sulalatus Salatin pada halaman ke-59.
Setelah berapa lamanya Sultan Maliku’t Tahir dan Sultan Maliku’l Mansur pun besarlah, dan negeri Perlak pun alah oleh musuh dari seberang, dan orang Perlak pun pindahlah ke negeri Semundra. Maka  Sultan Maliku’s Salleh pun berfikir dalam hatinya hendak berbuat negeri akan tempat anakanda baginda, maka titah  Sultan Maliku’s Salleh pada segala Orang Besar-besar , “ Esok hari kita pergi berburu”. Setelah pagi-pagi hari maka Sultan Maliku’s Salleh pun naiklah gajah yang bernama Permadewan itu, lalu berangkatlah ke seberang. Datang ke pantai, maka anjing yang bernama Si Pasai itu pun menyalak , maka Sultan Maliku’s Salleh pun segera mendapatkan anjingnya itu menyalak tanah tinggi, sekira-kira luas tempat istana, dengan kelengkapannya terlalu amat baik, seperti ditempa rupanya. Maka   Sultan Maliku’s Salleh disuruhnya tebas. Setelah sudah maka diperbuatnya negeri, pada tempat tanah tinggi itu dibuatnya istana, lalu dinamainya negeri itu ‘Pasai’, menurut nama anjingnya itu.

Pembukaan Semundra pula dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bertemu dengan seekor semut besar seperti kucing. Merah Silu kemudian makan semut tersebut. Tempat tersebut dinamakan  Semundra yang bermaksud semut besar. Kisah pembukaan negeri Semundra terdapat dalam Sulalatus Salatin pada halaman yang ke-57.
Adalah pada suatu riwayat Merah Silu pergi berburu, maka anjingnya bernama Si Pasai itu pun menyalak. Dilihat Merah Silu Si Pasai menyalak itu di atas tanah tinggi, seperti ditimbun orang rupanya. Maka Merah Silu naik di atas tanah tinggi itu, maka dilihatnya seekor semut besar seperti kucing, maka oleh Merah Silu semut itu diaambil dan dimakannya. Maka tanah tinggi itu diperbuatnya akan tempat, dinamainya Semundra ertinya semut besar.

KEDATANGAN ISLAM KE ALAM MELAYU
Kedatangan Islam ke Semundra dikaitkan dengan peristiwa Merah Silu bermimpi bertemu dengan Nabi Muhammad (s.a.w). Beliau bermimpi nabi Muhammad (s.a.w) telah meludah ke dalam mulut Merah Silu dan pada keesokan harinya, setelah Merah Silu terjaga dari tidur beliau telah boleh mengaji dan badannya berbau nawarastu. Kisah kedatangan Islam ke Semundra diceritakan dalam Sulalatus Salatin pada halaman ke-57.
Syahadan pada malam itu Merah Silu pun tidur, maka ia dirinya berpandangan dengan Rasullulah salla’llahu’alaihi wa salam. Maka sabda Rasullulah kepada Merah Silu, “Ngangakan mulutmu!” Maka oleh Merah Silu dingangakan mulutnya, diludahi oleh Rasullulah mulut Merah Silu. Maka Merah Silu pun terjaga daripada tidurnya. Diciumnya bau tubuhnya seperti bau narawastu. Telah hari siang , maka fakir pun naik ke darat membawa Quran disuruhnya baca pada Merah Silu. Maka oleh Merah Silu dibacanya Quran itu, maka kata fakir kepada Sheikh Ismail, nakhoda kapal, “ Inilah negeri Semundra, yang seperti sabda nabi salla’llahu’alaihi wa salam.

Kedatangan Islam ke Melaka pula dikaitkan dengan peristiwa Raja Kecil Besar atau juga dikenali sebagai Sultan Muhammad Syah telah diislamkan oleh Nabi Muhammad (s.a.w) melalui mimpi. Dalam mimpi itu, Raja Kecil Besar telah diajar mengucap dua kalimah syahadah, dikhatankan dan diberi nama Islam. Pada keesokan harinya, semua perkara yang dimimpikan oleh baginda menjadi kenyataan dan tubuh baginda turut berbau nawarastu. Dalam Sulalatus Salatin, kisah kedatangan Islam ke Melaka diceritakan pada halaman ke-73.
Maka dayang-dayang pun memberitahu Bendahara. Maka Bendahara pun segera datang, lalu masuk ke dalam istana. Maka dilihat Bendahara raja tiada berhenti-henti daripada menyebut ‘La ilaha I’l Allah. Muhammad –ar-rasullulah.’ Maka kata Bendahara, “bahasa mana yang disebut Raja  ini?. Titah raja, “ semalam beta mimpi berpandangan dengan keelokan hadrat junjungan, Rasullulah salla’llahu’alaihi wasalam. Maka segala mimpi baginda itu semuanya dikatakannya pada Bendahara. Maka kata Bendahara , “ Jikalau benar mimpi raja itu apa alamatnya?”. Maka titah Raja Kecil Besar , “ Alamatnya kalam beta seperti dikhatankan orang, itulah tanda tanda sah hamba bertemu Rasullulah salla’llahu’alaihi wasalam …

KEKUATAN YANG LUAR BIASA
Badang beroleh kegagahan yang luar biasa yang sukar dipercayai dan diterima oleh akal manusia. Badang dikatakan memperoleh kekuatan yang luar biasa setelah dia makan muntah hantu yang selalu mencuri hasil tangkapannya. Kegagahan Badang yang luar biasa itu membolehkannya melakukan kerja-kerja berat dalam waktu yang singkat dan majikannya berpuas hati dengan hasil kerjanya. Kisah Badang memperoleh sifat gagah ada diceritakan dalam Sulalatus Salatin pada halaman ke- 47.
Maka tersebutlah perkataan seorang perempuan duduk berhuma diam di Sayong, ada seorang budak, hambanya bernama Badang, kerjanya berhuma akan tuannya juga. Sekali persetua, pada suatu hari Badang pergi menahan lukah ke hilir pada satu sungai. Pagi-pagi dijenguknya lukahnya itu, dilihatnya hampa, suatu pun tiada isinya, tetapi sisik ikan dan tulangnya ada di tepi sungai itu banyak , sentiasa hari demikian juga. Maka tuannya bersungut katanya , “ Si Badang ini, orang pergi menebas menebang, dia leka dengan sebab mengatakan menahan lukah, seekor ikan pun tiada kupandang, sahaja engkau duduk sama-sam dengan aku laku rupanya,”. Maka Badang pun diam disunguti oleh tuannya di dalam hatinya berkata , “ Jikalau belum kudapat yang makan ikan dalam lukah itu belum puas hatiku,”. Ada pada suatu hari diintainya dari sebalik banir kayu, maka dipandangnya datang hantu terlalu besar panjang, tubuhnya seperti raga dan janggutnya datang pada pusatnya. Maka oleh Badang diambilnya parang dan kapaknya, lalu diterpanya menangkap janggut hantu itu serta katanya “ Engkau inilah makan ikanku dalam lukahku, sekali ini engkau mati olehku,”. Maka hantu itu pun terkejut serta dengan takutnya mendengar kata Badang itu, gementar-gementar hendak berlepas dirinya tak dapat. Maka kata hantu itu , “ jangan aku engkau bunuh, apa kehendakmu akan aku beri”. Maka fikir Badang “Jika aku hendakkan kaya, jikalau aku mati, tuan aku boleh akan dia. Jika akau hendakkan ilmu halimun, dapat tiada aku mati dibunuh orang dan jikalau hendak menjadi Orang Besar-besar, bukan asal aku. Jika demikian baik aku menuntut  minta kuat dan gagah, supaya aku kuat mengerjakan tuanku. Setelah ia fikir, maka kata Badang pada hantu itu , “ Berilah aku kuat dan gagah, segala kayu dan batu yang besar-besar itu dapat aku bantun dengan umbi akarnya dengan sebelah tanganku juga.” Maka kata hantu itu, “ Baiklah, jikalau engkau hendakkan gagah seperti maksud itu, maka makanlah muntahku,”. 

SINGAPURA DILANGGAR TODAK 
Mitos ini mengisahkan tentang peristiwa ikan todak menyerang Singapura. Peristiwa ini berlaku semasa Singapura diperintah oleh Paduka Seri Maharaja. Peristiwa ini telah menyebabkan ramai rakyat Singapura mati kerana ditikam oleh ikan berkenaan. Paduka Seri Maharaja mengarahkan semua rakyat berkubukan betis. Akan tetapi, cara berkenaan telah menyebabkan kematian rakyat negeri tersebut semakin meningkat. Akhirnya, serangan ikan todak tersebut berjaya diatasi oleh kebijaksanaan seorang budak yang menyarankan penggunaan batang pisang sebagai kubu. Penceritaan tentang Singapura dilanggar todak ada pada halaman ke-67, dalam Sulalatus Salatin.

Hatta tidak berapa lama antaranya, maka datanglah todak menyerang Singapura, berlompatan lalu ke parit. Maka segala orang yang di pantai itu banyak mati dilompati oleh todak itu, barang yang kena terus menerus olehnya. Maka tiadalah dapat orang berdiri di pantai itu lagi. Maka gemparlah orang berlari-larian ke sana ke mari, semuanya mengatakan “Todak datang menyerang kita, banyaklah sudah mati ditikamnya. Maka Paduka Seri Maharaja pun segera naik gajah, lalu baginda keluar diiringkan segala menteri hulubalang sida-sida bentara sekalian. Setelah datang ke pantai, maka baginda pun hairanlah melihat perihal todak itu, barang yang kena dilompatinya sama sekali matilah. Maka terlalulah banyak orang yang mati ditikam todak itu. Maka baginda pun menitahkan orang berkotakan betis, maka dilompati oleh todak itu, terus berkancing ke sebelah. Adapun todak itu seperti hujan, usahkan kurang, makin banyak orang mati. Syahadan, pada antara itu, datanglah seorang budak berkata”Apa kerja kita berkotakan betis ini? Mendayakan  diri kita. Jika berkotakan batang pisang alangkah baiknya?” setelah didengar Paduka Seri Maharaja kata budak itu, maka titah baginda, “ Benar seperti kata budak itu,” maka dikerahkan baginda rakyat mengambil batang pisang diperbuat kota. Maka dikerjakan oranglah berkotakan batang pisang. Maka segala todak yang melompat itu lekatlah jongornya, tercacak kepada batang pisang itu, dibunuh oranglah bertimbun-timbun di pantai itu…

KEPIMPINAN DAN KENEGARAAN DALAM SULALATUS SALATIN
Sulalatus Salatin menggambarkan kisah raja Melaka yang berasal dari keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Kehebatan Raja Iskandar Zulkarnain terbukti melalui kegagahan dan keberanian baginda menakluk negeri Kida Hindi. Seterusnya, baginda berjaya mengislamkan beberapa orang pemerintah dan rakyat di negeri tersebut melalui perkhawinan antara baginda dengan Puteri Syarul Bariyah. Kelebihan yang terdapat melalui jurai keturunan Raja Iskandar Zulkarnain memperlihatkan bahawa keturunan raja- raja Melaka berasal dari raja yang besar, gagah serta terkenal. Hal ini secara tidak langsung mengangkat martabat raja-raja Melayu. Dalam naskah Sulalatus Salatin pernyataan yang menunjukkan penaklukan Iskandar Zulkarnain terhadap negeri Kida Hindi. Pernyataan tersebut adalah seperti yang berikut:
A’alam ketahui olehmu ,pada zaman dahulukala, dan pada masa yang telah lalu, kata yang empunya ceritera, bahawa Raja Iskandar, anak Raja Darab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya., Zulkarnain gelarannya, sekali persetua baginda berjalan hendak melihat matahari terbit, maka baginda sampai pada suau bi’at, negeri Hindi. Maka ada seorang raja di tanda Hindi, terlalu besar kerajaannya, setengah negeri Hindi itu dalam tangannya, namanya Raja Kida Hindi. Setelah ia mendengar Raja Iskandar datang, maka Raja Kida Hindi pun menyuruhkan Perdana Menteri menghimpunkan segala rakyat dan raja-raja yang takluk kepadanya. Setelah sudah kampung semuanya maka dikeluarinyalah oleh Raja Kindi akan Raja Iskandar maka setelah bertemulah segala rakyat antara kedua belah pihak itu, lalu berperanglah, terlalu ramai seperti yang ada dalam Hikayat Iskandar itu. Maka alahlah Raja Kida Hindi Raja Kida Hindi itu oleh Raja Iskandar, ditangkap hidupnya oleh Raja Kida itu, maka disuruhlah oleh Raja Iskandar membawa iman, maka Raja Kida Hindi pun membaaa imn, maka Raja Kida Hindi pun membawa iman, maka Raja Kida Hindi pun membawa imanlah dan jadi Islam , dalam agama Nabi Ibrahim Khalilu ‘illah alahai salam. ..   
                                                                      (Sulalatus Salatin, : 9)                                                                                                                                                                                    

PANTANG LARANG SEBAGAI ADAT ISTIADAT DAN PERUNDANGAN NEGARA
Pantang larang dan perundangan negara perlu dipatuhi oleh semua pihak untuk menjamin ketenteraman dan kemakmuran negara. Antara pantang larang yang ditetapkan adalah seperti pantang larang berpakaian oleh rakyat biasa, syarat memiliki emas dan  pantang larang tidak boleh menderhaka kepada raja. Rakyat biasa dilarang memakai pakaian berwarna kuning dan  tidak boleh bergelang kaki emas. Dalam naskah Sulalatus Salatin penyataan yang menunjukkan pantang larang ialah :-

Syahadan bagindalah yang pertama-tama meletakkan “kekuningan larangan” tidak dapat dipakai orang keluaran, dan diambil akan sapu tangan , dan tiada dapat dibuat tepi tabir dan ulasan bantal besar dan tilam, dan bungkus barang apa-apa dan akan karangan-krangan benda dan tiada dapat diambil akan perhiasan rumah , dan lain daripada itu pun tiada juga dapat melainkan kain, baju, destar , tiga perkara itu jua yang dapat dipakai. Dan larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang  gantung, tiada terletak ke tanah , dan bertiang terus dari atap dan peranginan , dan jikalau derahu, bertingkap berpenghadapan, dan tidak dapat orang orang memakai penduk dan teterapan keris, sebesar-besar orang keluaran tidak dapat bergelang kaki emas, dan jikalau berkeroncong emas berkepala perak tiada boleh..

Friday 26 April 2013

SEJARAH MELAYU @ SULALATUS SALATIN


Sejarah Melayu ditulis oleh Tun Sri Lanang. Nama sebenar Tun Sri Lanang ialah Tun Muhammad. Tun Sri Lanang dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Beliau ialah pembesar istana berketurunan bendahara-bendahara kerajaan Melayu Melaka dan Johor Lama. Beliau menjadi Bendahara Paduka Raja antara tahun 1580 dan 1615. Menurut Windstedt, Sejarah Melayu ditulis oleh Tun Sri Lanang  mulai bulan Februari 1614 dan siap pada tahun 1615. Beliau ialah anak kepada Paduka Raja Tun Ahmad, Temenggung Johor dan ibunya, Tun Ganggang. Beliau juga merupakan cucu kepada Bendahara Sri Maharaja Tun Mutahir iaitu bendahara kerajaan Melayu Melaka semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah dan cicit kepada Tun Kudu iaitu bekas permaisuri Sultan Muzaffar Syah. Beliau terlibat dalam perancangan menawan semula Melaka pada tahun 1586, 1587, dan tahun 1606. Beliau juga menyusun pertahanan Johor bagi menghadapi serangan Portugis dan Acheh. Sebagai contoh, beliau  telah mengatur perjanjian dengan Admiral Matelief pada 23 September 1606 untuk mempertahankan Johor daripada serangan Acheh.
Sulalatus Salatin telah ditulis oleh Tun Sri Lanang atas arahan Yang Dipertuan di Hilir, Sultan Abdullah Ma’ayah Shah. Tun Sri Lanang kemudiannya menulis karya yang diberi nama Sulalatus Salatin iaitu Pertuturan Raja-raja. Sulalatus Salatin menceritakan jurai keturunan raja-raja Melayu yang bermula daripada penaklukan Iskandar Zulkarnain hingga ke zaman Sultan Alauddin Riayat Syah. Dalam Sulalatus Salatin banyak menceritakan kezaliman raja, cara hidup masyarakat dahulu kala yang menganggap raja sebagai berkuasa mutlak. Di samping itu, terselit juga kisah-kisah rakyat yang boleh dijadikan panduan kepada semua. Contohnya kisah Hang tuah, Singapura dilanggar todak, kisah Badang memperoleh gagah dan sebagainya. Terdapat banyak nilai dan pengajaran yang boleh diambil daripada kisah-kisah ini.
Antara unsur karya agung yang terdapat dalam Sulalatus Salatin ialah nilai estetika yang tinggi. Dalam Sulalatus Salatin, Tun Sri Lanang menggunakan gaya bahasa yang indah untuk memerikan sesuatu hal. Selain itu, puisi-puisi lama turut diselitkan untuk menggambarkan sesuatu cerita dan peristiwa. Penyisipan unsur-unsur dapat mengindahkan bahasa supaya kelihatan lebih seni dan menarik. Sulalatus Salatin turut menggunakan bahasa Melayu klasik. Buktinya, ia menggunakan ayat yang panjang, banyak menggunakan kata pangkal ayat dan istilah-istilah klasik.
Seterusnya ialah unsur kesejagatan. Tindakan-tindakan  seseorang watak dianggap sebagai kemanusiaan sejagat. Dalam Sulalatus Salatin, unsur sejagat dapat dilihat menerusi peristiwa Waad antara  Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Perjanjian ini adalah untuk kepentingan semua pihak iaitu pihak raja dan pihak rakyat. Raja tidak boleh menganiaya rakyat manakala rakyat pula tidak boleh derhaka kepada raja. Hal ini akan membawa kepada keamanan seluruh rakyat dan negeri.
Unsur keadilan pula dapat dilihat menerusi kezaliman yang dilakukan oleh raja-raja Melayu. Terdapat banyak contoh kezaliman yang dilakukan oleh watak-watak tertentu sehingga menimbulkan kesan sampingan yang lain. Contoh pertama dapat dilihat pada kezaliman Sultan Mahmud yang bertindak membunuh beberapa orang watak walaupun kesalahan yang dilakukak itu tidak seberapa. Contohnya, Sultan Mahmud menitahkan agar Tun Isap membunuh Tun Ali Sandang. Sultan Mahmud juga bertindak zalim atas keluarga Tun Mutahir dengan membunuh keluarga itu. Kejatuhan Melaka berlaku pada zamannya. Hal ini kerana Sultan Mahmud apabila dia membunuh keluarga Tun Mutahir, kekuatan Melaka menjadi lumpuh. Walaupun rakyat tidak dapat melawan kezaliman raja, tetapi keadilan telah terjadi dengan sendirinya yang berpunca daripada sikap buasnya sendiri.



Sunday 21 April 2013

KONSEP KARYA AGUNG


Karya agung merupakan karya-karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah, budaya, dan sosial yang kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca. Unsur dalam karya ini merangkumi mutu, nilai ketamaunan dan nilai kemanusiaan di dalam karya tersebut. Dunia ketamadunan Melayu telah memperlihatkan, terdapat banyak karya-karya agung yang telah dihasilkan.
Karya-karya ini melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Karya agung dapat membuatkan kita mengenali dan mengetahui sejarah dan kehebatan tamadun-tamadun dunia seperti tamadun  Greek, Cina, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain. Melalui penghasilan karya seni, pemikiran, falsafah, sastera yang dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman. Hasil kepengarangan ini dipelajari, dijadikan panduan, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.
Karya –karya agung sudah pasti merupakan karya yang berpengaruh yang sekurang-kurangnya membuat orang berhenti dan berfikir tentang diri mereka, tentang lingkungannya dan alam kehidupan keseluruhannya. Karya-karya agung ialah karya yang mengusik ketenangan dan menyedarkan kita. Lebih penting lagi, karya agung mengajak kita untuk mengenal dan memahami tradisi atau tamadun bangsa yang dipancarkan melalui karya agung itu. Dalam semua tradisi bangsa dan agama, karya agung merupakan “representatif” pada kehebatan sesuatu tradisi. Dalam tradisi Islam misalnya, ada Ihya’ Ulumuddin , tradisi Hindu dengan Bhagavaddita, dan tradisi Kristian dengan Summa Teologica. Dalam tradisi bangsa pula, bangsa Farsi memiliki Shahnameh, bangsa Eropah pula dengan Divine Comedy dan karya-karya William Shakespeare.
Dalam karya agung, terkandung pelbagai rencah kehidupan yang berkait dengan hidup manusia. Penceritaan dalam karya agung melibatkan unsur emosi, penderitaan, tangisan, kesengsaraan, pengajaran, maklumat dan sebagainya. Pembaca dapat menyelusuri segala aspek ini apabila membaca karya agung. Penulis juga membawa kita mengalami pengalaman orang lain di dalam sesuatu karya agung. 
Karya agung Melayu ialah karya yang dapat melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealism, nilai, pandangan hidup, adat, budi, dan kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Pelbagai persoalan kehidupan dan masyarakat terangkum indah dalam sesuatu karya.
Karya agung Melayu juga bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan dalam bentuk pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu,d atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Persoalan sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di manakah daerah asalnya di dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun menurun.
Buku Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan (2000) yang mengutarakan perbahasan dan pengertian tentang karya agung Melayu telah mentakrifkan karya agung sebagai karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, budaya dan pemikiran yang luar biasa dalam tamadun atau tradisi sesuatu bangsa. Karya itu dianggap sebagai warisan bangsa dalam erti kata ia mewakili minda dan pengalaman bersama (kolektif) bangsa itu sepanjang zaman sebagaimana yang dipancarkan dalam sistem kepercayaan, falsafah hidup, tradisi atau konsep ilmu, adat, bahasa, seni dan pekerti, budaya dan sosial yang membentuk citra atau identiti ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya agung Melayu.
Malah terdapat karya agung Melayu tradisional yang dijadikan penetapan penentuan karya agung Melayu yang dianggap sebagai hasil kreativiti seni persuratan dan penceritaan, dan sebagai pembentuk tradisi atau tamadun bangsa sehingga kesannya kekal dalam kesedaran kebangsaan bangsa Melayu sepanjang zaman. Untuk itu, beberapa karya kesusasteraan Melayu tradisional diterbitkan dalam edisi mewah yang menepati ciri-ciri karya agung seperti Sulalat-al-Salatin, Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat-al-Nafis dan Hikayat Hang Tuah. Ciri-ciri yang dimaksudkan adalah lambang atau pesanan yang disampaikan oleh karya itu iaitu nilai seni budaya dan falsafah atau pandangan hidup bangsa, nilai ilmu iaitu teknik kepengarangan dan seni bahasa. Semua karya ini memperlihatkan tahap keunggulan kreativiti, seni persuratan dan nilai budaya tinggi.
Konsep Karya Agung ini dapat dilihat melalui karya Hikayat Hang Tuah. Hikayat Hang Tuah merupakan salah satu karya agung Melayu yang amat berpengaruh.Hikayat ini merupakan satu-satunya epik Melayu yang melakar cita-cita, kebolehan, dan sikap hidup orang-orang Melayu pada suatu zaman. Hang Tuah yang menerajui hikayat ini, mewakili keunggulan citra Melayu sebagai bangsa yang berbudaya dan bertamadun dengan menonjolkan sifat-sifat kesetiaan, keberanian, kepintaran dan budi bahasa yang halus. Hang Tuah merupakan seorang laksamana yang unggul serta pahlawan Melayu yang gagah semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah di Melaka pada abad ke-15. Laksamana Hang Tuah ialah seorang yang berhati waja, berani, gagah, taat dan bijaksana. Walaupun berbeza-beza corak penceritaan, kepahlawanan Hang Tuah tetap ada dan sering menjadi simbol kekuatan masyarakat Melayu.
Dari sudut falsafah pula, Hang Tuah diibaratkan sebagai nadi kekuatan yang menjadi pujaan masyarakat terutamanya Melayu kerana keberanian dan budi pekerti yang ditunjukkan. Sepertimana yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah, penonjolan Hang Tuah sebagai seorang yang kuat, gagah serta berani merupakan satu makna falsafah yang sengaja ditonjolkan oleh penulis sebagai salah satu lambang kekuatan kepada masyarakat Melayu itu sendiri. Sebenarnya, dalam Hikayat Hang Tuah, perlambangan Hang Tuah itu sendiri merupakan satu falsafah yang telah digerakkan dengan pelbagai keistimewaan yang tersendiri dan memiliki pelbagai kelebihan. Segala tindak tanduk Hang Tuah dalam Hikayat Hang Tuah memiliki makna yang tersendiri serta yang tersirat.
Selain itu, Hikayat Hang Tuah banyak menceritakan kebudayaan dan sosial masyarakat Melayu yang membawa satu pengertian yang luas merangkumi segala hal berkaitan dengan masyarakat termasuk sistem sosial, struktur sosial, bentuk kepercayaan, perhubungan antara anggota masyarakat dan strategi fikasi sosial, kepercayaan dan agama juga merupakan dua aspek sosial yang menjadi pegangan masyarakat. Masyarakat pada masa itu menganuti agama Islam dan mengamalkan dua bentuk kepercayaan [bukan agama] iaitu berunsurkan animisme dan Hindu-Buddha. Jelas, betapa pengarang hikayat ini mempunyai idealisme untuk mengangkat martabat bangsa Melayu setinggi mungkin. Perkara inilah yang dikatakan bahawa karya agung ini melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dahulu kala dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi,kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya.


Friday 19 April 2013

DEFINISI DAN ETIMOLOGI MELAYU

KONSEP MELAYU
Definisi awal istilah "Melayu"

1. M. Ptolemy menggunakan istilah maleu-kolon dalam karyanya yang berjudul Geographike Sintaxis.

2. Kitab Hindu Purba yang berjudul Purana terdapat perkataan malaya-dvipa.

3. Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi.

4. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi, iaitu Kerajaan Melayu di Sungai Batang dan Kerajaan Sriwijaya di Palembang.

5. Catatan dalam kesusasteraan China menyatakan bahawa pengembara yang singgah di Nusantara mendapati bahasa yang dituturkan penduduk di situ ialah bahasa K’un-lun. Bahasa ini dipercayai oleh penyelidik sebagai bahasa Melayu kuno.

6. Sebuah patung di Padang Rocore, Batanghari bertarikh 1286 M dengan catatan perkataan “Malaya” atau “Melayu” pada bahagian belakangnya.


7. Buku Sejarah Melayu mengaitkan perkataan Melayu dengan nama sebatang sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.